KOTA KINABALU – Alhamdulillah. Saya menzahirkan rasa syukur yang mendalam ke hadrat Allah SWT atas rezeki, amanah, dan ujian yang diberikan kepada saya untuk memimpin Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) bagi penggal 2026 – 2030.
Kepercayaan ini bukanlah satu kemewahan, sebaliknya sebuah tanggungjawab yang amat besar yang perlu dipikul demi masa depan generasi muda dan tanah air tercinta, Sabah.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Presiden SAPP, barisan kepimpinan tertinggi parti, serta seluruh perwakilan dan pemerhati yang telah hadir dan menjayakan Kongres SAPP pada 1 November 2026 yang lalu. Sokongan daripada anda semua adalah dorongan utama buat kami barisan kepimpinan muda.
Menyahut seruan dan visi YBhg. Datuk Presiden, saya tegaskan di sini bahawa anak-anak muda SAPP sedia menggalas cabaran dan meneruskan perjalanan perjuangan SAPP ke fasa yang seterusnya.
Ini adalah permulaan kepada satu babak baharu. Saya menyeru seluruh saf Pergerakan Pemuda SAPP untuk merapatkan saf, bergerak bersama sebagai satu pasukan, dan berkhidmat dengan penuh integriti demi parti dan rakyat Sabah.
Sekali lagi, terima kasih atas kepercayaan ini. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita bersama.
ASRAF AMIR
Ketua Pemuda
Parti Maju Sabah (SAPP)
Penggal 2026 – 2030
