Perkahwinan 18 tahun Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, bersama suaminya Ramachandran Muniandy dilaporkan berakhir dengan perceraian.
Maklumat berkenaan perpisahan itu disahkan menerusi kemas kini pada laman web rasmi Yeoh. Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2008, sejurus sebelum beliau mula berkecimpung secara aktif dalam arena politik tanah air, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Shay dan Kayleigh.
Hannah Yeoh merupakan antara tokoh politik wanita yang cukup dikenali di Malaysia. Beliau mula menempah nama sebagai ADUN Subang Jaya dari 2008 hingga 2018, sebelum mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor pada 2013.
Kerjaya politiknya terus melonjak apabila memenangi kerusi Parlimen Segambut pada PRU 2018. Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2018–2020), Menteri Belia dan Sukan (2022–2025), serta dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada Disember 2025. Di peringkat parti, beliau menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Agung dan Naib Pengerusi DAP.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan peribadi lanjut dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berhubung keputusan tersebut.
sumber:https://www.malaymail.com/news/malaysia/2026/09/02/hannah-yeohs-official-website-confirms-divorce-after-18year-marriage/233652
