01 September 2026 — Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menggariskan naratif politik baharu yang lebih tegas: Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan semua hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, atau Sabah berhak mempersoalkan serta menilai semula ikatannya dalam susunan Persekutuan.
Presiden STAR Sabah, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata perjuangan parti kini mesti bergerak melangkaui kempen kesedaran mengenai MA63 sempena ulang tahun Parti STAR ke-10 pada 30 Ogos 2026.
Menurut beliau, rakyat Sabah sudah memahami sejarah dan hak mereka. Tumpuan sekarang ialah memastikan setiap janji, jaminan, kuasa dan hak yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan.
“Selama ini kita (STAR) membina kesedaran sehingga MA63 menjadi perjuangan arus perdana. Sekarang kita mesti bergerak ke hadapan. Naratif baharu kita ialah laksanakan MA63 sepenuhnya atau kita nilai semula makna serta ikatan perjanjian itu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-10 STAR Sabah.
DARIPADA KESEDARAN KEPADA PELAKSANAAN
Dr. Jeffrey berkata perjuangan MA63 yang dahulunya dianggap sensitif kini telah diterima dan diperjuangkan oleh hampir semua parti politik di Sabah.
Penubuhan Jawatankuasa Khas MA63 di peringkat Persekutuan pada 2018, pemulihan beberapa hak dan kuasa Sabah serta penerimaan jumlah interim RM1.5 bilion membuktikan bahawa perjuangan panjang tersebut telah menghasilkan perubahan.
Namun, katanya, pengiktirafan politik dan pembayaran interim belum mencukupi.
“Kita tidak mahu MA63 hanya disebut dalam ucapan, manifesto atau menjelang pilihan raya. Kita mahu pelaksanaan sebenar.
“Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan MA63 secara bulat-bulat dan tuntas. Kalau tidak mahu melaksanakan MA63, maka laksanakan semua hak Sabah yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Parti STAR terkorban dalam PRUS 17 dengan naratif lama, Parti STAR berjaya menyedarkan rakyat tentang kedudukan dan hak Sabah. Naratif baharu pula mesti menuntut tindakan, pelaksanaan serta pertanggungjawaban daripada Kerajaan Persekutuan.
ARTIKEL MA63 MENJADI ASAS
Dr. Jeffrey berkata Artikel I atau Artikel 1 MA63 mesti dibaca dan difahami kerana peruntukan itu menjadi asas penting kepada persoalan mengenai pembentukan serta kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Artikel I menyatakan bahawa Tanah Jajahan Borneo Utara dan Sarawak serta Negeri Singapura akan disekutukan dengan negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai Sabah, Sarawak dan Singapura. Persekutuan itu kemudiannya dinamakan Malaysia.
Menurut tafsiran beliau, penggunaan istilah “Tanah Jajahan Borneo Utara” menunjukkan bahawa ketika MA63 ditandatangani di London pada 9 Julai 1963, North Borneo masih berada di bawah pemerintahan British.
Malaysia pula hanya wujud dan dibentuk pada 16 September 1963.
Dr. Jeffrey berkata pemimpin North Borneo melalui Majlis Perundangan telah membuat keputusan pada 8 Ogos 1963 untuk mencapai pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963, sama ada Malaysia dapat diwujudkan pada tarikh asal atau tidak.
Atas asas itu, beliau berhujah bahawa kedudukan Sabah telah berubah daripada sebuah tanah jajahan kepada sebuah Negara sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Apabila Malaysia dibentuk, Sabah bukan lagi sebuah tanah jajahan. Sabah sudah mencapai pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963.
“Sabah disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu, bukannya dimasukkan sebagai sebuah negeri biasa di bawah Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.
SABAH SATU DARIPADA TIGA
Dr. Jeffrey menegaskan bahawa sejarah tersebut menjadi asas kepada pendirian STAR bahawa Sabah mempunyai kedudukan yang setara dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Sarawak.
“Sabah bukan sekadar satu daripada 14 negeri. Kedudukan Sabah adalah satu daripada tiga dalam pembentukan Malaysia,” Sabah adalah rakan pengasas pembentukan Malaysia katanya.
Beliau berkata pengiktirafan dan penggazetan Hari Sabah pada 31 Ogos merupakan satu kejayaan penting dalam usaha membetulkan sejarah yang selama ini tercicir.
Bagaimanapun, pengiktirafan sejarah sahaja tidak memadai jika kedudukan, hak dan kuasa Sabah masih gagal dihormati dalam amalan pentadbiran Persekutuan.
DUA PILIHAN YANG JELAS
Dr. Jeffrey berkata naratif baharu STAR memberikan dua pilihan yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan.
Pertama, laksanakan MA63 dan semua hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, jujur dan tanpa penangguhan.
Kedua, jika Kerajaan Persekutuan terus gagal melaksanakannya, maka persoalan mengenai keberkesanan, makna dan ikatan MA63 mesti dinilai semula melalui proses politik serta undang-undang.
“Kalau sebuah perjanjian sudah dirunding, dipersetujui dan ditandatangani tetapi tidak dilaksanakan, apakah ertinya perjanjian itu?
“Kita tidak boleh terus terikat kepada sebuah perjanjian yang digunakan untuk membentuk Malaysia, tetapi kewajipan dan tanggungjawab terhadap Sabah terus diketepikan,” katanya.
Beliau berhujah bahawa kegagalan berterusan melaksanakan asas perjanjian boleh membuka ruang untuk mempersoalkan sama ada MA63 masih mempunyai kesan mengikat terhadap Sabah.
Menurutnya, isu itu boleh dibawa ke saluran undang-undang yang bersesuaian, termasuk meneroka mekanisme undang-undang antarabangsa dan kemungkinan penentuan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
AMBIL KEMBALI KUASA SABAH
Dr. Jeffrey berkata perjuangan naratif baharu bukan sekadar mengenai istilah, gelaran atau kedudukan simbolik.
Matlamatnya adalah untuk mengembalikan kuasa sebenar kepada Sabah bagi mengurus pentadbiran, kewangan, hasil dan sumbernya sendiri.
Beliau berkata sekiranya hak serta kuasa Sabah dipulihkan, Sabah ini mampu memungut dan mengurus 100 peratus hasilnya serta menuntut kembali kawalan terhadap minyak dan gas.
Kuasa dan sumber kewangan tersebut, katanya, boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik, jalan raya, kemiskinan serta kelewatan pembangunan yang terus membebankan rakyat.
“Sabah kaya dengan sumber, tetapi rakyat masih berhadapan masalah asas. Ini berlaku kerana kita tidak mempunyai kuasa dan kawalan yang sepatutnya terhadap hasil serta sumber kita sendiri,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa undang-undang dan kuasa Sabah yang disifatkannya sebagai “tidur” perlu diteliti untuk dihidupkan semula sekiranya Kerajaan Persekutuan terus gagal melaksanakan MA63.
RUNDING SEMULA ATAS DASAR KESETARAAN
Dr. Jeffrey berkata sekiranya Sabah mahu terus berada bersama Wilayah Semenanjung Malaysia dan Sarawak dalam Persekutuan, hubungan tersebut mesti dibina atas dasar kesetaraan, penghormatan dan pelaksanaan perjanjian.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan semua pemimpin berkaitan perlu duduk semula bagi memastikan setiap hak Sabah dikembalikan sebagaimana yang dipersetujui.
“Bukan seperti sekarang—sudah dirunding, sudah dipersetujui, tetapi tidak dilaksanakan.
“Kalau hubungan Persekutuan ini mahu diteruskan, ia mesti berasaskan kejujuran, kesetaraan dan penghormatan terhadap hak Sabah,” katanya.
BINA KEKUATAN POLITIK TEMPATAN
Dr. Jeffrey berkata naratif “Sabah for Sabahans”, “Rumah Kita, Kita Jaga” dan pengukuhan parti tempatan telah berjaya mengubah pemikiran rakyat dalam PRUS-17.
Walaupun STAR sendiri menerima kesan politik dan menjadi “mangsa kepada kejayaan naratifnya sendiri”, beliau menegaskan bahawa parti itu tidak akan merungut atau meninggalkan perjuangan.
Sebaliknya, STAR akan memperbaiki kelemahan, memperkukuh organisasi dan membina kekuatan politik tempatan yang lebih tersusun.
“Kita mungkin tidak berjaya dalam sesuatu pilihan raya, tetapi perjuangan ini lebih besar daripada satu keputusan politik.
“Kita telah berjaya membina kesedaran. Sekarang kita mesti membina kuasa politik untuk melaksanakan perjuangan itu,” katanya.
“UNITY IS DUTY”
Dr. Jeffrey menegaskan bahawa naratif baharu tidak akan berjaya jika rakyat dan pemimpin Sabah terus berpecah-belah kerana jawatan, kedudukan dan kepentingan peribadi.
Menurutnya, survival politik tidak boleh mengatasi perjuangan mengembalikan hak Sabah.
“Unity is duty. Perpaduan adalah tanggungjawab kita.
“Kalau kita masih berpecah-belah dan membawa haluan masing-masing, kita tidak akan berjaya mencapai misi serta visi kita,” katanya.
Beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli STAR supaya bersatu hati serta menjadikan ulang tahun ke-10 parti sebagai titik permulaan kepada fasa perjuangan yang lebih tegas.
“Naratif baharu kita jelas: laksanakan sepenuhnya MA63 dan semua hak Sabah, atau Sabah akan menilai semula ikatannya.
“Kita akan meneruskan perjuangan sehingga Sabah benar-benar mempunyai kuasa untuk menentukan dan mengurus masa depannya sendiri—sebagai Sabah yang bersatu, maju, makmur dan merdeka,” tegasnya.
