Pengerusinya, John Teo (gambar) berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu amat diperlukan untuk mendorong perbelanjaan meskipun ia bukan sokongan fiskal secara langsung.
Bagaimanapun kata beliau, secara keseluruhan pengumuman pakej PEMULIH tidak memenuhi secara khusus kepada industri pelancongan dan perhotelan meskipun ia antara sektor paling terkesan akibat pandemik.
"Lanjutan pemberian diskaun elektrik sememangnya amat diperlukan tetapi kuantum tetap 10 peratus (bagi bil) tidak mencukupi. Jumlahnya tidak signifikan memandangkan purata penginapan adalah 20 peratus dalam purata bagi seluruh Malaysia untuk bulan-bulan akan datang berikutan lanjutan perintah kawalan pergerakan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada Isnin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman khas, Pakej PEMULIH turut berkata kerajaan turut melanjutkan diskaun bil elektrik kepada sektor ekonomi yang terjejas sebanyak 10 peratus bagi bil Oktober hingga Disember tahun ini.
Perdana Menteri berkata, antara sektor ekonomi terbabit ialah pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Menurut Teo bagi bantuan kewangan one off berjumlah RM3,000, ia hanya ditawarkan kepada agensi pelancongan berdaftar dan tidak termasuk hotel walaupun mereka antara yang mengalami kerugian besar dan bebanan aliran tunai.
Mengenai inisiatif PSU 4.0, dimana kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti, Teo berkata, ia perlu diperjelaskan lagi dengan lanjut.
"Ini kerana hotel tidak termasuk dalam senarai negatif tetapi kami masih sangat terkesan ekoran daripada pelaksanaan sekatan perjalanan.
"Namun kami mengalu-alukan pelaksanaan PSU (Program Subsidi Upah) yang meletakkan tiada syarat had gaji berbanding sebelum ini ia hanya untuk gaji dibawah RM4,000. Ini membolehkan majikan memperluaskan lagi subsidi kepada semua peringkat pekerja mereka sekarang," katanya.
Beliau berkata bagi pengumuman pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan yang akan diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak beroperasi semasa PKP juga tidak jelas.
Katanya, pengecualian levi sehingga Disember 2021 yang diberikan kepada industri lain baharu yang dimasukkan dalam Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 juga tidak termasuk industri hotel seperti yang dinyatakan oleh HRD Corp.
"Bagaimanapun kami di industri akan terus memberikan data dan maklumat terbaharu kepada kerajaan bagi memastikan keputusan serta strategi tepat dilaksanakan semasa negara sedang melangkah ke fasa ke-4 PPN, untuk membangun dan memulihkan kembali pelancongan," katanya.
Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment